Pengenalan (nota guru)

"Penjodoh" membawa erti "pemadan", "pasangan" atau lawan sesuatu.

"Penjodoh bilangan" merupakan perkataan yang digunakan mendahului dan berpasangan dengan sesuatu kata nama untuk menjelaskan jenis dan bilangan kata nama itu. Contohnya: ekor untuk serangga dan haiwan, helai untuk kain dan kertas, keping untuk kad dan papan, biji untuk buah-buahan, buah untuk buku dan rumah, dan lain-lain lagi.
Penjodoh bilangan tidak perlu digunakan untuk membilang kata nama abstrak seperti "beberapa cara", "semua pendapat", "satu abad", "segala sifat", "berbagai peringkat" dan sebagainya. Contohnya baris, bentuk, biji, buah, butir dan lain-lain tidak perlu diselitkan kepada kata nama abstrak itu.
Jika penjodoh bilangan tidak langsung digunakan di mana-mana, maksud perkataan yang berikutnya masih jelas tatapi frasa atau ayat itu mungkin tidak menjadi sesempurna yang diharapkan dalam penggunaan bahasa Melayu. Contohnya " dua sahabat" berbanding dengan "dua orang sahabat", "lima ayam" berbanding dengan "lima ekor ayam" atau "satu rumah" berbanding dengan "sebuah rumah" atau "(apa?) nasi" berbanding dengan "sesuap nasi".
Penjodoh bilangan apabila digunakan dalam sesuatu frasa atau ayat, dapat menghasilkan penggunaan bahasa yang lebih indah dan idiomatik. Contohnya: "seulas nangka" apabila menunjukkan maksud "isi" nangka itu sendiri. Begitu juga, misalnya, apabila hendak membezakan saiz atau kuantiti sesuatu seperti "sebaris puisi" dengan "serangkap puisi" dan "sesisir pisang" dengan "setandan pisang".