Pengenalan (nota guru)

"Penjodoh" membawa erti "pemadan", "pasangan" atau lawan sesuatu.

"Penjodoh bilangan" merupakan perkataan yang digunakan mendahului dan berpasangan dengan sesuatu kata nama untuk menjelaskan jenis dan bilangan kata nama itu. Contohnya: ekor untuk serangga dan haiwan, helai untuk kain dan kertas, keping untuk kad dan papan, biji untuk buah-buahan, buah untuk buku dan rumah, dan lain-lain lagi.
Penjodoh bilangan tidak perlu digunakan untuk membilang kata nama abstrak seperti "beberapa cara", "semua pendapat", "satu abad", "segala sifat", "berbagai peringkat" dan sebagainya. Contohnya baris, bentuk, biji, buah, butir dan lain-lain tidak perlu diselitkan kepada kata nama abstrak itu.
Jika penjodoh bilangan tidak langsung digunakan di mana-mana, maksud perkataan yang berikutnya masih jelas tatapi frasa atau ayat itu mungkin tidak menjadi sesempurna yang diharapkan dalam penggunaan bahasa Melayu. Contohnya " dua sahabat" berbanding dengan "dua orang sahabat", "lima ayam" berbanding dengan "lima ekor ayam" atau "satu rumah" berbanding dengan "sebuah rumah" atau "(apa?) nasi" berbanding dengan "sesuap nasi".
Penjodoh bilangan apabila digunakan dalam sesuatu frasa atau ayat, dapat menghasilkan penggunaan bahasa yang lebih indah dan idiomatik. Contohnya: "seulas nangka" apabila menunjukkan maksud "isi" nangka itu sendiri. Begitu juga, misalnya, apabila hendak membezakan saiz atau kuantiti sesuatu seperti "sebaris puisi" dengan "serangkap puisi" dan "sesisir pisang" dengan "setandan pisang".
jambak
benda yang berangkai-rangkai.

Contoh: bunga, kunci.

Contoh ayat: Abang menghadiahkan kakak sejambak bunga mawar pada majlis ulang tahunnya.
naskhah
bahan bacaan.

Contoh: buku, majalah, risalah, surat khabar.

Contoh ayat: Ayah sedang membaca senaskhah surat khabar.

ekor
Binatang, ikan dan serangga.
Contoh : angsa, arnab, ayam, burung, cacing, cengkerik, harimau, ikan, rusa, singa, tikus, ular, ulat, zirafah, kucing, monyet.
Contoh ayat: Dua ekor lembu Pak Malai memusnahkan anak-anak pisang yang baru ditanamnya.
helai
benda yang nipis, lembut, lebar dan berkeping-keping.

Contoh: baju, borang, cadar, daun, kain, kertas, sampul surat, sapu tangan, selimut, seluar, tuala, selendang.

Contoh ayat : Nenek mengambil beberapa helai daun pengaga untuk dibuat ulam.
gelung
benda yang panjang dan bergelung.

Contoh : dawai, kawat, rotan, tali, wayar.

Contoh ayat : Rosman membeli beberapa gelung dawai dari kedai runcit itu.
ikat
benda yang telah diikat.

Contoh : atap, kayu, papan, petai, sayur-sayuran, sirih, buah-buahan.

Contoh ayat : Ibu menyuruh Arif membeli dua ikat sayur bayam daripada penjual sayur itu.

biji
buah-buahan dan benda-benda yang berbentuk bulat.

Contoh : batu, bola, butang, cawan, ciku, durian, gasing, gula-gula, guli, nanas, pinggan, tembikai.

Contoh ayat : Azwan membeli lima biji buah durian daripada penjual buah-buahan di gerai itu.
batang

benda yang lurus, panjang dan keras.

Contoh : galah, gigi, jalan, kapur, kayu, lidi, lilin, mancis, paku, pembaris, pen, pensel, rokok, sungai, tongkat.

Contoh ayat : Adik meminta abang membelikannya sebatang pensel.

buah
benda yang besar, tempat, bangunan dan semua jenis kenderaan.

Contoh: almari, bandar, bas, basikal, beg, bukit, buku, dewan, dusun, jam, pulau, radio, songkok, raga,stadium.

Contoh ayat : kemalangan antara sebuah bas dan sebuah motokar itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.
bilah
senjata atau benda yang tajam dan runcing.

Contoh : gergaji, gunting, jarum, kapak, keris, lembing, lidi, parang, pedang, pisau, tombak.

Contoh ayat : Buah tembikai itu dibelahnya dengan menggunakan sebilah pisau yang tajam.
bentuk
Benda kecil yang berbentuk lengkung.

Contoh : cincin, mata kail, subang.

Contoh ayat: Ayah menghadiahkan sebentuk cincin berlian kepada ibu.

angkatan
kumpulan atau kelompok benda dan manusia.
Contoh : belia, kapal perang, pelukis, penulis, sasterawan, polis, tentera.
Contoh ayat : Seangkatan tentera telah dihantar untuk berkhidmat di Bosnia.
keping
Benda yang rata, nipis dan lebar.

Contoh : atap, biskut, gambar, getah, kad, kertas, kuih, papan, roti, setem, zink.

Contoh ayat : Ayah mengganti beberapa keping atap yang sudah bocor di rumah datuk.
pucuk
Senjata api dan benda yang halus dan tipis.

Contoh : meriam, pistol, rebung, senapang, surat.

Contoh ayat : Abang menghantar sepucuk surat kepada kakak di Jepun.
Ulas
Isi buah-buahan yang berulas.
Contoh : cempedak, durian, langsat, limau, manggis, rambutan, nangka.
Contoh ayat : kakak menyuapkan seulas limau ku mulut adik.
longgok
benda yang dilonggokkan.

Contoh: buah-buahan, durian, ikan, kelapa, pakaian, pasir, sampah, sayur-sayuran.

Contoh ayat: Dua longgok durian itu berharga sepuluh ringgit sahaja.
hiris
Benda yang sudah dipotong tipis-tipis.


Contoh : bawang, daging, daun pandan, lada, lobak, sengkuang, timun, tomato.

Contoh ayat : Emak mencecah dua hiris timun itu dengan sambal belacan.
gulung
membilang benda yang panjang dan bergulung.

Contoh : filem, kain, kertas, permaidani, tikar, tilam.

Contoh ayat : Hamidah telah menghabiskan lima gulung filem untuk mengambil gambar tempat-tempat menarik.
rumpun
Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh berkumpul.

Contoh : buluh, lalang, padi, rumput, serai, tebu, pandan.

Contoh ayat : Kak Maryam menanam serumpun serai di belakan rumahnya.
bidang
Benda yang lebar, luas dan rata.
Contoh: bendang, kebun, ladang, layar, permaidani, sawah, tanah, tikar.
Contoh ayat : Petani itu sedang membajak sebidang tanah sawah berhampiran rumahnya.